JOHOR BAHRU: Sebanyak 193 lokasi tapak membabitkan 9,609 petak jualan disediakan bagi penganjuran bazar Ramadan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Ayub Jamil, berkata mesyuarat penyelarasan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) yang dijalankan 21 Mac lalu bagi memastikan penularan wabak COVID-19 dibendung, selain kelangsungan sumber pendapatan peniaga.

Katanya, taklimat bersama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) akan diadakan berkenaan prosedur operasi standard (SOP) dan nilai kompaun serta jenis kesalahan yang boleh dikenakan kompaun kepada penganjur dan peniaga.

“Kerajaan negeri memberikan pengecualian bayaran permit, sewa tapak, lesen sementara dan yuran pendaftaran serta wang proses kepada peniaga bazar, selain pengecualian bayaran ini hanya terpakai bagi tahun ini sahaja.

“Penganjur tidak dibenarkan mengenakan caj tinggi kepada peniaga bazar, selain kadar bayaran yang dikenakan hendaklah bersesuaian dengan kelulusan PBT dan ianya perlu dinyatakan dengan jelas serta peniaga perlu dimaklumkan berkenaan kadar itu.

“Bayaran yang boleh dikenakan kepada peniaga bazar adalah hanya bagi perkara meliputi khemah, apron, kebersihan atau pengurusan sisa pepejal, kawalan keselamatan dan utiliti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, rayuan bagi menambah waktu operasi pembukaan bazar tidak akan dipertimbangkan seiring dengan usaha untuk membendung penularan wabak COVID-19.

Katanya, bilangan anggota bagi kawalan keselamatan dan pematuhan SOP juga akan ditingkatkan berbanding tahun sebelum ini dalam memastikan pelaksanaan SOP ketat dipatuhi semua pihak.

“Warga emas dan kanak-kanak adalah tidak digalakkan mengunjungi bazar Ramadan bagi mengurangkan risiko kadar jangkitan,”katanya.

 

Sumber Berita Harian

Leave a comment

Leave a ReplyCancel reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.